Blog Baru

Blog Baru
Jemput Melawat

Sayonara~
Petang itu, hujan turun dengan lebatnya. Setiap rintik yang menyimbah bumi seakan memberi galakan untuk penghuni bumi merebahkan jasad ke atas katil yang empuk lagi menggoda. Aku turut sama tewas, dan sesungguhnya, kekalahan ini sangatlah tidak aku banggakan.

Dalam keenakan menikmati bayu petang yang diiringi kilat yang memancar, aku terfikir sejenak. Segala macam memori yang telah aku lalui selama ini. Memori yang rasanya ada banyak pengajaran disebalik segal putaran kehidupan.


sahabat-sahabat lama.. mana antum semua berada huh?hehe

Tengah hari tadi, sebelum pergi Solat Jumaat, aku ada berbual dengan seorang sahabat. Katanya, dia sudah memperoleh 2 tawaran universiti(agak membanggakan, memandangkan dia seorang pelajar perubatan). Namun, ditambah pula, rupa-rupanya kedua-dua tawaran itu bukan untuk bidang perubatan. Beliau turut meyelitkan sedikit rasa tidak percayanya terhadap perkara itu. Katanya, tak pernah terbayang pun untuk membuat bidang lain.


***

Aku masih berada di kelas 503 pada petang ahad itu. Selepas solat Asar, aku kembali berada di tempat dudukku, menelaah pelajaran. Sepanjang hari ini, memang itulah tempatku, sebaik dari sarapan sampailah ke petang ini. Aku masih tidak berpuas hati dengan hafalan sejarahku. Dan memandangkan peperiksaan SPM bakal tiba minggu depan, kurasakan inilah masa yang masih ada untuk aku memperoleh keputusan yang kuharapkan.

Aku memang sudah lama menyimpan rasa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Semenjak memasuki MRSM PDRM beberapa tahun lalu, dan kini di MRSM Taiping, memang itulah satu-satunya pintu yang dapat kulihat. Menjadi seorang jurutera. Beberapa bulan kebelakangan ini pula, minatku terhadap Subjek Kimia pula semakin menjadi-jadi. Boleh katakan semua perkara yang aku lihat, pasti ada kaitannya dengan kimia. Sehinggakan dalam menghafal butiran-butiran tentang ahli sunnah wal jamaah, boleh pula kukaitkan proses iman, menaik dan menurun(yazid dan yaqus) dengan proses "oxidation Alcohol", yakni dalam proses "reflux". Sehinggakan, pada satu ketika, memang tetap dalam hatiku, aku ingin menjadi jurutera kimia yang berjaya, membawa nama negara ke persada antarabangsa. Malah, projek Sains aku dan 2 orang lagi rakan telah berjaya menjadi antara 20 projek inovatif negara. Cuma masalah tidak diselenggara dengan kemas dan tidak ada penjelasan dari sudut pengiraannya sahaja yang menghalang kami dari membawa mesin membaja kami pergi lebih jauh.



Ketika ini, aku sudahpun membuat permohonan untuk mengikuti Skim Pelajar Cemerlang MRSM, untuk melanjutkan pelajaran ke Uiversity Of Sheffield dalam bidang Jurutera kimia, dan akan ditemuduga 2 minggu selepas SPM. Memang itulah yang aku harapkan. Selain itu, aku turut menghantar borang permohonan Bank Negara untuk membuat kursus Ekonomi. Entah kenapa, aku sendiri tidak mengerti. Tidak pernah aku mengikuti apa-apa subjek atau pelajaran yang berkaitan dengan Ekonomi, tapi memandangkan kaunselor telah memilih aku antara 10 orang dari maktab ini untuk memperoleh borang permohonan itu, maka aku pun memohon lah. Jauh disudut hatiku ini, memang ini sebagai satu langkah yang sengaja, sekadar memenuhi kuota, bukan untuk aku benar-benar mengikutinya pun.


Kelas aku, hari Graduasi. Macam baru semalam rasanya kali terakhir berjumpa..

Aku tinggikan pandanganku. Jelas kelihatan kelas "dia". Mengikut apa yang aku tahu, "dia" pun akan mengikuti bidang kejuruteraan. Mana tahu, ada jodoh, bolehlah saling membantu nanti, kata hatiku sendiri sambil tersengih. Tiba-tiba, aku dikejutkan dengan bunyi petir yang sangat kuat. Kulihat jam tanganku, tepat menunjukkan jam 6.30 petang. Aku teringat baju yang kusidai pagi tadi masih belum diangkat. Terus aku berkemas, dan pulang ke kolej kediaman. Lagipun, malam ini akan ada kelas persediaan.

***

Itulah aku hampir 2 tahun yang lalu. Masih berangan-angan dengan bidang kejuruteraan. Siapa sangka, 2 tahun kemudian, aku akan mengambil biasiswa Bank Negara. Kalau dulu, siapa sahaja yang bertanya, akan ku nyatakan niatku untuk menjadi seorang jurutera. Kataku, "Tak minat bidang-bidang pejabat nih". Sewaktu temuduga, berapi-api kunyatakan minat terhadap subjek kimia. Boleh kata, sehingga pegawai tersebut pun ternganga dengar segala repekan aku. Akhir sesi, aku diberitahu, "you should wait until about 2 weeks from now, and if you did'nt get this offer, in which I don't think so, you will also be notified via email or something. Most probably a letter, an offer letter in 2 weeks, ok?" Aku senyum memanjang hari tu. Gembira yang amat sangat. Impian aku hampir menjadi kenyataan.

Tapi, siapa sangka, 2 tahun kemudian, offer yang aku harap2kan itulah yang telah aku tolak. Aku sekarang pelajar dibawah tajaan Bank Negara, mengambil bidang Ekonomi, dan insya-Allah akan ke UCL. Siapa sangka. Hanya Allah yang mengetahui segala-galanya. Dialah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui segalanya.




NOTA KAKI:
1)rakan-rakan satu kumpulan denganku dalam projek sains itu kini kedua-duanya melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan. Mohd Shearhan b. Mahtar, Jurusan KeJurutera Kimia,(Universiti Petronas) Mohd Abdullah b. Mohd Razip, Kejuruteraan Awan.(Uni. Nottingham)
2)rakan-rakan sekelas 503 aku. ikut gamba, dari kiri, berdiri: Rizal, Aizad, Faqar, Izzat, Aku, Zul. duduk, kiri: Farid, Ruzaimi, Hafiz
3)siapa "dia"? biarlah rahsia. Aku pun tak tahu apa yang dilakukannya kini. Malas nak menyimpan rasa pada yang tak sudi(wahh.. jiwang nih..) tak dalah.. siapa aku nak orang macam tu. Kalau ada jodoh, adalah.. kalau tak, tak adalah.. wahhh..hehe..



This entry was posted on Friday, April 03, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: